Monday 29 July 2013

Khabar Kepada Mereka. Bahagian 4


Tiba-tiba Lukman terasa badan diurut lembut. Lukman tersedar. Lukman melihat Mama sedang mengurut belakang badannya.

Kata Mama, "Mengapa tidur di sini?"

"Saya terlelap sahaja Mama. Tiba-tiba kelopak mata berat." jawab Lukman.

"Sekiranya begitu, pergi ke katil dan tilam Lukman."

Lukman bangun dari kerusi dan membuka langkah menuju ke biliknya. Tiba-tiba sahaja Lukman terasa pelik dan mahu tanya kepada Mama.

"Mama..."

"Ya...," Jawab Mama.

"Mengapa Mama suruh saya ke katil dan tilam dan mengapa tidak cakap pergi kebilik saya sahaja."

Mama tertawa kecil melihat anak sulungnya itu. Lalu mengelengkan kepala. Sebelum menjawab soalan anaknya itu, Mama menarik nafas sedalam mungkin dan kemudian melepaskan.

Mama tidak mengeluh lalu menjawab, "Sekiranya tiada katil Lukman akan rasa bilik Lukman itu besar. Dan sekiranya tiada tilam, badan Lukman sakit-sakit tidur diatas lantai. Sudah almari Lukman memakan ruang yang cukup besar."

Lukman mengerut kening lalu mengurut-urut dahinya.

'Apa kaitan katil dan tilam ini dengan bilik aku ini? Kalau masuk bilik sudah tentu badan ini akan rebah ke katil dan tilam!' kata Lukman sendiri.

"Sudahlah, pergi masuk tidur. Laptop Lukman biar Mama tutupkan."

Lukman jawab lesu dan bersahaja, "Baiklah. Selamat Mama."

Sunday 28 July 2013

Khabar Kepada Mereka. Bahagian 3


 "Kita di dalam kerangka Tuhan?" Lukman mengosok matanya sambil mengulang semula kata Bapa.

"Kita di dalam kerangka Tuhan"

"Kita di dalam kerangka Tuhan"

"Kita di dalam kerangka Tuhan"

Lalu Lukman baringkan kepala ke muka meja, dan kelopak mata mula menutup pandangan. Lukman terlelap.

Bila sahaja Lukman membuka matanya, Lukman melihat dirinya terbang di langit dan hampir keluar dari bumi. Benua Asia, Eropah, Afrika, dan sebagainya jelas kelihatan di depan mata.

"Sungguh! Hebat ciptaan Tuhanku!" ucap Lukman.

'Kita di dalam kerangka Tuhan? Betulkah?' soal Hati yang tiba-tiba menyampuk

Lukman terkesima. Melihat sekeliling dari mana suara itu datang. Tapi Lukman sudah mengagak suara itu adalah suara hatinya!

'Apa maksud kita di dalam kerangka Tuhan? Bukankah kau sekarang terbang bebas ke langit. Dan lihat pandangan yang indah ini. Adakah pandangan indah ini ciptaan Tuhan?'

Lukman jawab, "Ya, sudah tentu. Tuhan menciptakan keindahan."

'Sekiranya begitu, di mana keindahan itu berada, sedangkan ia dicipta?"

Lukman kebinggungan, tapi Lukman pasti dirinya sudah terperangkap dengan main Hati yang jijik. Menyoal ciptaan Tuhan yang tidak terjawab oleh akal Lukman sendiri.


'Sekiranya betul, keindahan ciptaan Tuhan, dimana keindahan itu berada?' Hati ulang semula soalannya.


Sambung bahagian 4.

Saturday 27 July 2013

Khabar Kepada Mereka. Bahagian 2.



Tiba-tiba hatinya berbisik.

'Mengapa Tuhan menciptakan bumi ini bentuk sfera? Mengapa tidak tiga segi, empat segi dan horizon sahaja?'

"Mengapa kau kata begitu, sudah tentu bentuk sfera ini betul dan tidak mustahil umat manusia boleh mendiami. Budak kecil juga tahu bagaimana sekiranya bumi ini dalam bentuk tiga segi atau empat segi." Kata Lukman memecah kesunyian di ruang tamu. Bapa dan Mama Lukman tidak pula sedar akan suara Lukman itu.

'Sekiranya betul, mengapa Tuhan tidak adil? Mengapa manusia di bumi membunuh sesama mereka? Adilkah bagi Tuhan menciptakan manusia, sedang mereka saling membenci?

Lukman mengaru kepala, hati itu berbisik dengan bebas tanpa rasa bersalah soalkan ciptaan Tuhan.

'Bukankah apabila kita bertanya akan sesuatu adalah kebebasan manusia. Dan apabila kita bertanya akan sesuatu mengenai Tuhan, bukankah ia meningkatkan iman kita?'

Lukman mengetap bibir, dan mematikan video itu seketika, persoalan yang dimainkan oleh hati sengaja tidak memberi keselesaan  kepadanya selepas tamat waktu kerja.

'Lukman tahukah mengapa Tuhan menguji kita?'

"Tidak." kening Lukman bergetar dan badan Lukman sedikit kesejukan.

'Sekiranya tidak jawapan kau, buang masa kau menyembah Tuhan. Sedangkan kau tidak tahu, makna sebuah kehidupan ini.'

Hati persoalkan lagi.

'Jawapannya adalah, kau dengar dan geraklah dengan kataku. Sesungguhnya aku hati, yang punya naluri manusia sejak dilahirkan ke dunia.'

Lukman mengeleng kepala, lalu menghentak kepala ke muka meja.

"Mengapa perasaan aku ini? Mengapa ia berkata begitu? Tiba-tiba Lukman teringat kat Bapa.

"Kita di dalam kerangka Tuhan."



Sambung bahagian 3.

Friday 26 July 2013

Khabar Kepada Mereka. Bahagian 1




"Wahai anakku, khabar kepada mereka."

Lukman merenung wajah bapa. Mengapa khabarkan kepada mereka. Apa mereka mahukan?

"Sesungguhnya kita di dalam kerangka Tuhan."

'Kerangka Tuhan? Wahai bapaku? Apa kerangka Tuhan kamu ucapkan?' Kata Lukma kepada diri sendiri.

Bapa Lukman berlalu pergi, pergi meninggal dia keseorangan di ruang tamu rumah keluarga. Bapa mengunci pintu bilik dan tidur bersama Mama. Lukman duduk di kerusi menghadap komputer riba miliknya sambil membuka Youtube menonton keajaiban alam semesta ciptaan Tuhan.

'Apa maksud bapaku? Di dalam kerangka Tuhan? Adakah Bapaku maksudkan kita sudah ditakdirkan sejak azali lagi bahawa kehidupan aku, keluarga dan manusia lain sudah ditetapkan dengan sekian-sekian perkara. Sedang manusia itu sendiri bebas berfikir dan sebahagian mereka sangka, mereka membuat keputusan betul tanpa campur tangan Tuhan?'

Lukman mematikan persoalan itu, disebabkan persoalan yang berlegar-legar di kepala, Lukman terlepas beberapa bahagian menarik dalam rancangan kesukaannya di Youtube. Durasi video itu selama 20 minit. Dan Lukman terpaku dengan kebijaksanaan saintis-saintis yang bertungkus-lumus mencari jawapan.

Tiba-tiba hatinya berbisik....

Sambungan bahagian 2.