Sunday 16 February 2014

Matahari Tetap Bersinar.



Gambar hiasan: sumber

Matahari tetap bersinar walaupun kamu berselindung di rumah, pokok-pokok, atau di mana sahaja yang tertinggal bayang-bayang selepas perginya malam. Malam meninggalkan bayang-bayang ketika matahari datang.  Begitu juga cinta usia muda, meninggalkan kamu ketika jodoh datang.

Sinaran matahari pada hari ini adalah sama sinarnya matahari untuk moyang, datuk-nenek dan ibubapa kamu ketika kecil. Tetapi sejarah tetap berulang, akan diulang untuk kamu dan cucu. Padahal mereka menerima sinaran yang sama.

Matahari tetap bersinar pada siang, walaupun esok kamu bernasib malang. Atau ditimpah rezeki mencurah-curah. Beza antara kamu apabila melihat pagi. Seolah seekor burung melakukan rutinnya, keluar dengan lapar, dan pulang dengan kekenyangan. Siang pada hari itu, adalah sama siang pada esoknya.

Dan rezeki kamu pada hari ini adalah sama untuk esoknya, ketahuilah rezeki kamu ada sebahagian milik orang lain kerana rezeki tetap cukup. Dan matahari tetap bersinar, walaupun awan-awan mendung menutup bumi. Rezeki kamu kerana matahari tetap bersinar, untuk siang mencari rezeki dan sebahagian kamu menunggu hidayah.

Bumi berputar, mengalihkan kamu dari sinaran matahari berpanjangan. Seperti juga kehidupan kamu, kadang kamu di atas dan kadang kamu di bawah. Walaupun siang itu sama pada hari sebelumnya. Tetap menerima ujian yang berlainan. Sangkaan panas terik itu ujian, kegembiraan juga ujian. Sangkaan miskin itu mudah, itupun ujian.

Matahari tetap bersinar, walaupun kamu mati dalam ujian dan senang dengan rezeki. Kamu mencari ujian, kerana ujian datanglah rezeki. Kamu mencari siang, kerana adanya malam. Kamu mencari ujian, kerana adanya rezeki. Bersinarlah matahari untuk selepas kamu. Dan sejarah tetap berulang.