Sunday 10 March 2013

Diari-Gadis Tersemat Di Hati.


10/3/2013-7.15 PM

Baru sahaja selesai membersihkan diri, pesan orang-orang tua, perlu mandi sebelum masuk waktu maghrib, katanya sekiranya kerap mandi selepas maghrib atau waktu malam, akan menghidap penyakit paru-paru berair atau sakit-sakit tulang. Pesanan dari doktor pula, jangan mandi pada waktu malam ketika demam sahaja. Baik, kita lupakan perkara itu dan fokuskan gadis yang berjaya mencuri hati saya, walaupun hati saya ini senang sekali jatuh apabila melihat wanita cantik. Dan saya benci dengan gadis yang sombong dan gedik.

Gadis itu bernama Yumira Hanika. Setahu saya nama itu digunakan oleh penduduk negara di timur. Jepun.
Sedetik memikirkan negara jepun, hanya dua perkara yang bermain dalam minda saya, iaitu Yumira Hanika dan Naruto. Naruto bukanlah sahabat saya mahupun kenalan saya di jepun, Naruto ini adalah kartun yang popular di seluruh dunia. Tidak pasti pula bagaimana sambutan siri Naruto ini di jepun.

Yumira Hanika seorang yang sombong dan ganjil pada pandangan saya, entah bagaimana hati ini tertarik gadis ini. Pelik benar perasaan ini. Sudahlah sombong, kadangkala menyakitkan hati. Sikap ganjil gadis ini pula, bebola matanya tidak mahu langsung memandang wajah saya. Sekali-sekala saya rasa wajah saya ini sangat kacak dan manis, apabila gadis-gadis melihat, pasti terpotong jari manis mereka. Walaupun realitinya ia tidak pernah berlaku.

Yumira Hanika ini mahasiswi di IPTA di Malaysia. Dari sumber yang sahih ia keturunan melayu, pada saya ia seperti keturunan dari timur, saya syak moyang Yumira Hanika ini dari zaman pendudukan jepun pada zaman penjajah dulu. Apabila saya bertanya soalan yang sama seperti itu, bebola matanya merah dan timbul bintik-bintik hitam, seperti Uchiha clan dalam siri Naruto. Mata gadis ini seolah mahu mengeluarkan api  Amaterasu dan mahu membakar saya semahunya. Pasti hati dia akan berkata, "Padan muka kau Shuib!"

Apabila bertanya marah, sekiranya saya marah, dia juga marah. Bukan saya seorang sahaja lelaki jadi mangsa api Amaterasu. Ramai lelaki lain juga menjadi mangsa. Semua tidak berani mendekati, hanya urusan sangat-sangat penting baru para mahasiswa berhubung dengan gadis ini. Bertambah pelik saya, gadis ini sangat berbaik-baik gadis yang lain. Sikap ramah dan mesra, mencuit hati saya, tidakkah gadis ini berfikir bahawa sekarang sudah ramai wanita yang suka spesis sejenis. Adakah Yumira Hanika akan menggunakan api Amaterasu?

Tapi saya yakin, hubungan spesis sejenis tidak akan mencederakan dari segi fizikal tetapi emosi dan rohani. Teringin juga saya mahu mendengar dari mulut seorang gadis, "Semua perempuan sama sahaja, tidak boleh percaya" sekiranya Yumira Hanika berkata demikian, peluang mengahwini gadis ini semakin terbuka luas.

Kalau boleh saya mahu mendekati Yumira Hanika ini dan mahu mengahwini sebagai isteri. Selepas saya buat keputusan demikian, jiwa saya selalu berkata, "Mohon cermin diri dulu" kemudian saya melihat diri saya di cermin, berkata lagi jiwa saya, "Bukan cermin inilah benak! Mohon lihat diri kau sendiri." Keadaan begini saya selalu teringat pesan guru sekolah saya, "Musuh yang utama bukanlah orang lain, tetapi musuh yang utama adalah diri kamu sendiri." Ya! Saya yakin, jiwa saya sengaja mensabotaj keinginan saya! Walaupun saya sedar, benar sekali apa dikatakan jiwa saya itu.

Dengan semangat Naruto yang mahu menjadi Hokage di kampung Konoha, saya akan berusaha menjadi manusia yang terbaik dan saya sedar ia akan jadi hangat-hangat tahi ayam. Alamak, terdengar suara ibu di bilik utama, kalau waktu begini ibu memanggil saya, bukan menyuruh saya mengangkat barang berat mahupun membeli tepung di kedai runcit, ibu mahu saya mengimamkan solat maghrib. Baik, nanti saya akan sambung.


No comments:

Post a Comment