Sunday 14 October 2012

Pada Masa Dan SItuasi Yang Tepat-Sebuah Cerpen Pendek.

"Misi 33 berakhir... Selepas Pahlawan Merah menafikan peluang dan harapan kita dan seluruh anak negeri ini mahu menjulang piala kebanggaan semua." Kata Rahim sambil menyepak batu-batu di hadapan.

"Mungkin kau faham bagaimana perasaan aku dan seluruh anak negeri selangor ini menantikan kemarau cinta daripada Taman Akasia Utama?" rungut Hamirul dengan memeluk tubuh sebagai bahasa badan defensif.

Pipi Rahim sedikit tegang disertakan bebola mata memandang ekspresi wajah Hamirul. Kenyataan Hamirul tidak ada kaitan tentang perlawanan antara Selangor dan Kelantan untuk merebut ke pusingan akhir Piala Malaysia edisi 2012. Rahim menepuk berkali-kali bahu kanan Hamirul kemudian Rahim memujuk,

"Mengapa kau memikirkan perkara yang sudah lepas. Sudah cukup sudah, peristiwa itu tujuh tahun lalu. Sesungguhnya kau ingat pesan aku, masa lalu itu sangat jauh. Pasti kau dapat lupakan."

"Sekiranya begitu, mengapa kau masih lagi kecewa kekalahan Selangor dan mengira kegagalan Selangor kali ke tujuh berturut-turut kecundang mahu membawa pulang Piala Malaysia sedangkan kau tahu masa lalu sangat jauh? Adakah kau mengkritik atau mengenangkan kisah duka?" Omel Hamirul.

Rahim ketawa kecil. Bebola mata Hamirul dalam kesamaran melihat jelas gigi Rahim tersusun rapi dan bibir mulut kemerahan membawa imej Rahim sebagai seorang lelaki tidak merokok.

"Kadangkala aku mengkritik dan juga mengenang kisah lalu. Tetapi pada masa dan keadaan atau musim  bola sepak. Aku tidak seperti minggu lepas mahupun minggu depan memikirkan kecewa atau memberi kritikan, tetapi hari ini sahaja. Dan kau Hamirul, harus fikir pada masa dan situasi yang tepat." Nada suara Rahim sedikit menekan dan bebola mata ke kiri menandakan Rahim mencari dan menyusun ayat yang sesuai untuk berhujah.

"Situasi mana dan masa bila? Masa lalu sangat jauh Rahim, kau yang kata begitu." balas Hamirul sedikit mendengkus.

"Taman Nilai Akasia Di Sutera Indah. Ia situasi yang sungguh indah pada kau."

Darah-darah pada saluran muka Hamirul semakin kurang menyebabkan wajah Hamirul pucat dan kemerahan.  Darah itu ada yang mengalir ke otak mahupun ke kelenjar adrenal yang merembes humor untuk kekuatan atau tindakan luar dari kebiasan bagi menghadapi kemungkinan yang merbahaya.

"Taman Nilai Akasia Di Sutera Indah? Itu...."

"Itu taman kau pernah bertemu dengan dia. Daripada cerita kau tujuh lepas, kau tahu dia tinggal di situ sebab status laman sosial dia. Begitu juga Selangor...."

"Apa kaitan pasukan Selangor dengan dia. Dia tinggal di Taman Nilai Akasia Di Sutera Indah. Dan perlawanan ini berlangsung pada Stadium Shah Alam tadi!"

Rahim mengusap lembut bahu kanan Hamirul. Bibirnya digigit lembut lalu berkata,

"Muka kau pucat apabila aku sebut nama taman itu. Sesunggguhnya aku dapati kekecewaan kau pada cinta dia bukan daripada perasaan cinta sejati, tetapi kau kecewa pada diri kau kerana tidak memiliki dia. Sesungguh kau perlu ingat, cinta sejati tidak pernah padam mahupun pupus. Kerana cinta itu adalah sebuah kewujudan. Kewujudan itu penuh makna pada sesiapa yang mencintai."

"Tapi Rahim dia akan berkahwin tiga bulan dari sekarang!"

Rahim menghela nafas panjang selepas itu berkata,

"Rumah kita memang milik kita, tetapi ia tidak mustahil kita akan jual pada orang lain. Tiada apa yang mustahil. Walaupun seorang pelajar tercorot mahu mengambil peperiksaan STPM dalam aliran sains. Kata kebanyakan orang ia merugikan dan mustahil, tetapi bagaimana pelajar itu berusaha dan seterusnya berjaya? Adakah budak itu mengenang nasib diri yang lalu atau melakukan perkara yang betul untuk berjaya dalam STPM?

Sudah tentu memikirkan perkara betul dalam kehidupan. Tetapi adakah kita sangkakan itu betul, sebenarnya tidak. Semua disebabkan perspektif kita. Betul kau cintakan dia? Adakah kamu serius Hamirul?"

Mereka berdua berjalan beriringan, langkah mereka kecil seperti sepakat mahu memanjangkan perbualan mereka sehingga kesesakan jalan di  kawasan sekitar Staidum Shah Alam mula reda. Rahim menyambung syarahan,

"Usah memikirkan lagi kerana masa lalu itu sungguh jauh dan kematian itu sangat dekat. Mana pilihan kita perlu fikirkan sekarang? Jauh atau dekat? Perkahwinan tidak menjamin kita memiliki pasangan kita hingga akhir hayat. Sama juga 32 kali kemenangan Piala Malaysia oleh Selangor tidak menjaminkan kemenangan ke peringkat seterusnya. Buktinya malam ini. Lakukan cara yang betul untuk memiliki hati dia. Ingatlah yang dekat. Dan jaminan cinta yang kekal adalah berdoa. Doa itu tidak pula jauh mahupun dekat atau sememangnya tidak cepat mahupun lambat tetapi selalu tepat pada masanya." Rahim menamatkan syarahan sebaliknya Hamirul masih terpinga-pinga seolah syarahan yang panjang itu masih belum terjawab.

Hamirul bertanya,

"Masih ada soalan kau belum jawab. Pada masa bila aku patut memikirkan dia?"

"Pada masa kau berdoa. Doa itu akan dimakbulkan tepat pada masa dan keadaan. Seperti sekarang, aku meleteh fasal bola sepak  pada masa dan keadaan pada masa yang tepat." Rahim ketawa kecil.

"Adakah kau berdoa untuk sekarang ini?" soal Hamirul?

"Tidak. Aku berdoa mahu Selangor menang." senyum lebar Rahim.

(Tamat)

No comments:

Post a Comment