Friday 19 October 2012

Di Mana Kau Wahai Guru? (Kolej Teknologi Timur Dan Kolej Tunku Abdul Rahman)

Setelah peristiwa tiga hari lepas berlalu. Rutin hidup Azman kembali pulih. Bukan peristiwa putus cinta mahupun peristiwa kerugian perniagaan. Sesungguhnya Azman tidak pernah bercinta dan memiliki perniagaan sendiri. Peristiwa ini berkaitan soal pendidikan, impian dan minat.

Imbas kembali.

Pada pukul 9.30 pagi hari jumaat, Azman dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Bebola mata Azman mengecil kadangkalanya membesar untuk menangkap cahaya untuk melihat nombor pemanggil yang tidak kenali. Tetapi Azman tahu, mungkin nombor ini yang ditunggu-tunggu semalam. Azman menekan butang "menjawab" lalu Azman memberi salam.

"Walaikumsalam. Ini Ahmad Azman? Saya dari Kolej Teknologi Timur. Saya menerima permohonan Encik Azman untuk menyambung pengajian di kolej kami. Encik Azman memohon kursus Pra Diploma Sains kerjasama Uitm? Jadi, pihak pengambilan pelajar Kolej Teknologi Timur terima permohonan itu.

Untuk maklumat Encik Azman, kursus ini  tidak menawarkan sebarang bentuk pinjaman. Sebab ia Pra Diploma. Jadi bagaimana Encik Azman?"

Mulut Azman ternganga luas. Tiba-tiba sahaja Azman berdiri lalu melompat riang tanpa disedari operator wanita itu. Mulut Azman berkumit-kumit mengucapkan kesyukuran kepada ilahi. Kemudian Azman berbicara,

"Baik. Saya akan berbincang dengan keluarga saya. Boleh saya tahu berapa yuran pengajian untuk kursus ini?"

Serta-merta operator wanita itu menjawab,

"Jumlah yuran untuk kursus ini 7.300 ringgit sahaja. Pengajian selama satu tahun, ada dua semester."

Mengangguk-angguk kepala Azman. Kakinya mencari meja di ruang tamu untuk mengisi semula tenaga bateri telefon bimbit. Lalu Azman menjawab,

"Saya akan berbincang dengan keluarga saya. InsyaAllah mereka akan terima. Saya ada soalan. Sekiranya pihak Kolej Teknologi Timur menghantar surat tawaran kepada saya, saya boleh pilihan mahu menyambung atau tidak pengajian saya, kan?"

"Ya. Betul Encik Azman."

"Baik. Saya akan berbincang. Seronok sangat sebab sebelum ini saya pernah memohon kursus yang sama di Kolej Unikop tapi syarat saya tidak cukup iaitu saya tidak ambil Sains Tambahan. Baik. Assalammulaikum!"

Operator wanita itu seperti tergamam. Membalas salam Azman lambat seolah operator wanita ini menerima salam dari bekas kekasihnya. Akhirnya operator wanita itu menjawab salam dan talian telefon dimatikan.

Menghela nafas panjang. Seolah tekanan daripada keluarga dia sudah lenyap buat selama-lamanya. Kini Azman mahu menyampaikan berita gembira ini pada ayah. Ayah ada di dapur sedang membaca surat khabar. Azman menghampiri ayah dan berdiri disebelah ayah dengan wajah memandang sarapan pagi.

"Ayah Azman dapat sambung pengajian dengan kursus Azman mohon. Tapi tiada pinjaman sebab ia Pra Diploma. Yuran untuk kursus ini 7.300 ringgit, satu tahun ada dua semester." tersengih-sengih Azman menyebut harga yuran untuk kursus itu.

Ayah hanya mengangguk-angguk sambil mata tidak lari daripada membaca keratan akhbar. Azman tahu keluarga mampu untuk menyara pengajian diperingkat lebih tinggi. Kerana kakak sulung Azman juga menyambung di kolej dan universiti swasta daripada peringkat diploma hingga ijazah sarjana muda.

Tiba-tiba sahaja telefon bimbit Azman berdering lagi. Azman menyangka panggilan itu pasti ibu. Sekiranya betul sangkaan Azman berita kegembiraan ini pasti tersebar luas pada sanak-saudara yang lain. Azman bergegas ke ruang tamu dan mencapai telefon bimbitnya. Bebola mata Azman melihat skrin telefon bimbit ternyata bukan nombor telefon ibu tetapi nombor telefon pihak Kolej Teknologi Timur!

Azman menggaru kepala. Kening kanan sedikit terangkat serta mata terbeliak. Azman menjawab dengan pantas panggilan itu lalu memberi salam.

"Walaikumsalam. Saya mohon maaf Encik Azman. Saya silap menyemak borang permohonan Encik Azman. Ini baru borang permohonan yang betul. Keputusan SPM 2010 Encik Azman, adalah BM B+, BI D, Matematik B+ dan Sains A, kan?

Azman mengangguk-angguk kepala lalu menjawab,

"Ya. Betul itu."

"Sebenarnya untuk kursus Pra Diploma Sains, mesti kredit Bahasa Malaysia dan Matematik. Serta lulus bahasa inggeris. Kemudain lulus mana-mana subjek seperti Biologi, Kimia, Fizik atau Sains Tambahan. Maaf, Encik Azman. Encik Azman tidak layak. Saya mohon maaf."

Azman memuncungkan bibir. Kepala ditundukkan lalu mengetap bibir sambil menggeleng kepala.

"Baik. Tidak mengapa. Lagipun saya mohon pengajian ini pun mahu menyenangkan hati keluarga saya sahaja. Mereka risau saya tidak sambung pengajian. Sebab itu mahu menyambung pengajian di mana-mana kolej tetapi tidak terima. Saya bercadang mengambil STPM aliran sains. Saya tidak kisah dan takut, cuma keluarga saya risau, mereka fikir ia membazirkan masa." ucap Azman lemah.

"Encik Azman minat bidang apa selain bidang sains? Kolej Teknologi Timur ada menawarkan diploma pengurusan hartanah, sijil sains komputer, diploma seni grafik, dan diploma pengajian perniagaan."

Azman tersenyum nipis lalu berkata,

"Saya tidak minat semua itu. Saya minat sains tulen. Kalau bidang matematik pun saya tidak mahu ke ,Matematik Pengkomputeran, saya mahu pengajian Sains Matematikal atau Fizik Teori."

"Baik, sekiranya begitu tidak mengapalah. Ikut kehendak Encik Azman. Assalammulaikum, Encik Azman."

Talian dimatikan. Salam operator wanita dijawab juga walaupun seolah diri dipermainkan.

"Ya Allah aku terima takdir ini." Azman tersengih-sengih mengucapnya walaupun air mata sudah mengalir di pipi.

****
Isnin, 22 oktober 2011.

Azman melihat jam di tangan kanan. Lalu berkata Azman.

"Sudah masuk solat zohor. Perlu bergegas semoga hidup ini lebih bahagia." 

Setelah menunaikan solat zohor. Azman membuka komputer peribadi di meja bahagian ruang tamu rumah. Bekerja di syarikat keluarganya membolehkan dia menggunakan masa rehat ini untuk membuka kotak email. Email yang ditunggu-tunggu adalah email daripada Kolej Tunku Abdul Rahman. 

Permohonan Azman belajar diperingkat STPM di KTAR. Kolej Tunku Abdul Rahman menawarkan Sekolah Pra-Universiti seperti A-levels dan STPM. Azman menyangka disebabkan KTAR adalah kolej swasta kemungkinan pihak kolej akan menerima Azman sebagai pelajar sekolah pra-universiti di KTAR.

Azman menyemak kotak emailnya. Azman dapati pihak pengurusan Kolej Tunku Abdul Rahman membalas emailnya. Azman menepuk tangan seperti mengucapkan tahniah pada diri sendiri. Walaupun Azman sendiri tidak tahu adakah permohonan itu diterima ataupun ditolak. Azman mengklik mesej email itu.

Terpapar mesej email pihak pengurusan Kolej Tunku Abdul Rahman. Azman membaca perlahan-perlahan dengan nada suara sedikit kuat.

__________________________________________

Pelajar yang dihormati,

Terima kasih atas kesudian untuk belajar di Kolej Tunku Abdul Rahman.

Pelajar Sastera tidak digalakkan untuk menyertai program dalam aliran sains. Menurut pengalaman, pelajar Sastera sukar untuk mengikuti pelajaran bagi mata pelajaran sains di peringkat STPM. Walaupun anda telah mendapat A dalam mata pelajaran Sains di tingkatan 5, tetapi apa yang telah dipelajari di tingkatan 5 adalah jauh berbeza dengan apa yang akan dipelajari di STPM. Tambahan pula, silibus STPM adalah jauh lebih sukar berbanding dengan SPM.

Dengan ini, saya nasihatkan supaya anda kekal dengan aliran sastera.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Lee Hai
Penyelaras STPM / Ketua, Bahagian Fizik dan Matematik
Sekolah Pengajian Pra-University
Kolej Tunku Abdul Rahman.
Tel: 03-41450123 ext 339

_________________________________________


Azman menepuk dahi. Sambil berkata,

"Tiada siapa mahu ambil aku sebagai pelajar mereka. Wahai ilmu sains, adakah aku tidak layak mendampingi kau? Memang aku tiada kelayakan  apatah lagi asas ilmu sains. Aku patut terima diri aku. Kadangkala rasa diri bodoh sebab tidak kenal diri sendiri yang aku ini cuma pelajar sastera!" Azman sedikit  merungut.

Sambung lagi,

"Semua harapan ini adalah sia-sia belaka."

Azman termenung pada kipas siling. Kipas yang berputar dengan kelajuan tahap tiga seolah menyindir dirinya. Diri tidak tahu bagaimana kipas siling itu berfungsi dengan mengikut arahan dari kawalan alat jauh. 

Renungan lama pada kipas siling itu. Membuatkan Azman menyoalkan kembali minat Azman pada bidang sains. Kata Azman,

"Bukan kerana popular aku mahu belajar sains. Apatah lagi harta mahupun pangkat. Tidak! Semua itu tidak penting. Kalau aku pentingkan popular, harta atau pangkat sekarang pun aku boleh dapat. Keluarga aku ada syarikat sendiri. Mereka tunggu aku ambil alih syarikat itu, tapi aku sendiri tidak mahu. Bukan sains sahaja aku minat, muzik, sastera, perfileman, fotografi, tarian kebudayaan dan menulis. Mengapa aku mahu belajar sains di sekolah, universiti atau kolej sebab sains ada dispilin ilmu yang ketat.

Aku tidak boleh belajar di jalanan. Itu sebab aku perlukan guru. Guru-guru itu ada di sekolah, univerisiti mahupun kolej. Tapi pihak pengurusan mereka tidak mahukan aku. Akhir kata untuk diri sendiri, di mana kau wahai guru?"

(Sumber: Kisah Benar) Diubah sedikit seperti nama dan dll.

2 comments:

  1. Hati saya terdetik-detik sayu baca cerpen ini, ia sebuah realiti kehidupan. Sedar atau tidak ia terkandung konotasi bernada melankolik untuk mencerna ketidakadilan kepada pelajar aliran sastera yang bercita-cita tinggi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, Cikpuan Atie. Cerpen ini adalah kisah benar. Sumbernya saya tidak nyatakan. Biarkan rahsia. Hehe. Sesungguhnya peluang dan ruang perlu diberikan kepada pelajar sastera yang bercita-cita tinggi. :D

      Delete