Friday 4 May 2012

Sastera Ilmi sebagai pemangkin budaya intelektualisme dalam peradaban ummah


Sastera Ilmi sebagai pemangkin budaya intelektualisme dalam peradaban ummah: satu renungan awal*


Oleh Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal, pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi PETRONAS.

Dalam sejarah peradaban Islam, konotasi perkataan sastera itu sendiri melambangkan sesuatu yang cukup penting dalam masyarakat. Sastera dalam Islam didefinisikan sebagai adabbiyyat yang mana bertitik tolak dari perkataan adab. Kedudukan makna adab itu sendiri paling signifikan tercermin dalam sejarah kesusasteraan Islam seperti yang diterangkan oleh ahli sejarah tamadun Islam, Marshal S. Hodgson:

“A central position in adab was held by Arabic literature: especially the poetry and the rhyme prose, which held a position of honour not accorded to any other arts. The spoken word well put moved cultivated men as nothing else in life was permitted to, and its refinements were explored by a galaxy of remarkable verbalists.” (Hodgson, 1958:452)

Seorang adib (insan yang beradab, terdidik, berbudaya tinggi) bilamana beliau mempelajari bidang ilmu di luar bidang sastera seperti contoh bidang biologi, selalunya beliau tidak akan mengkajinya dalam keadaan khusus dan literal semata-mata, sebaliknya mereka turut sama memberi penumpuan kepada aspek kesesuaian estetik dalam pelbagai cara untuk dijadikan rujukan kepada penulisan kesusasteraan dan persuratan. Semua ilmu yang dipelajari akan digunakan dengan baik untuk memperkayakan lagi kualiti penulisan mereka khususnya sastera. (Hodgson, 1958: 454)

Dalam membicarakan perihal sastera ilmi yang dirantaikan dengan konsep kesusasteraan Islam, konsep penting yang diketengahkan oleh perkataan adab ini perlu diperjelaskan dengan lebih teliti untuk menggapai hakikat sebenar sastrera ilmi.

Istilah adab dalam sejarah kebudayaan Islam pernah mempunyai makna yang jauh lebih luas dan mendalam sebelum disempitkan hanya kepada sebahagian kecil makna-makna yang terdapat di dalamnya seperti persuratan, tatasusila profesional dan perilaku sosial (Al-Attas: 1980:36).

F.Gabrieli, dalam kajiannya yang ringkas mengenai adab menyatakan bahawa pada abad pertama Hijrah, istilah adab mengandungi makna ilmiah, akhlak, dan sosial. Dalam abad-abad berikutnya, ada membawa makna semua ilmu pengetahuan yang mampu melahirkan manusia yang berbudi tinggi dan “berbudaya”. Menjelang abad ke-10 Masihi, adab telah disempitkan maknanya kepada suatu bidang ilmu pengetahuan, yakni persuratan (adabiyyat). (Gabrieli, 1986)

Perkataan adab, seperti yang difahami sewaktu zaman Arab jahiliah membawa makna seperti undangan ke suatu jamuan istimewa atau bankuet yang telah terkandung andaian bahawa, terdapat di dalamnya pergaulan dan perbincangan yang mulia (Wan Mohd Nor, 2006: 151).

Setelah Islam tiba dalam kehidupan masyarakat Arab, makna perkataan adab itu telah berubah dari segi semantiknya dengan dimasukkan unsur-unsur kerohanian dan keilmuan yang mana proses ini dinamakan sebagai proses islamisasi bahasa Arab. Proses Islamisasi perkataan adab ini jelas tergambar dalam hadith yang diriwayat oleh Ibn Mas’ud yang menerangkan al-Quran disebut sebagai jemputan Allah SWT ke bankuet di atas muka bumi ini (ma’dabat Allah fi’l ard) dan kita dianjurkan untuk menikmatinya dengan memperoleh ilmu pengetahuan mengenainya (fa ta’aalam, min ma’dabatih). (Al-Attas, 1980: 24)

Di samping itu, terdapat juga hadith yang menerangkan aspek kesalingkaitan ilmu, pendidikan dengan perkataan adab itu sendiri yang berbunyi:

“Tuhanku telah menyemai dan mengukuhkan adab ke dalam diriku (addabani Rabbi) kerana itulah adabku paling unggul (fa ahsana ta’dibi).”

Mengikut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, perkataan addaba iaitu menyemai dan mengukuhkan adab ke dalam diri boleh diertikan juga sebagai mendidik. Makna pendidikan yang dimaksudkan oleh al-Attas bukanlah seperti mana yang kita biasa fahami bersifat satu dimensi tetapi merangkumi amal dan juga proses mendidik yang menekankan penggunaan dan pengamalan ilmu secara baik dalam masyarakat. Para ilmuan Islam terdahulu telah mengikat kemas kata kunci ‘ilm (ilmu), ‘amal (amal) dan adab untuk menggambarkan konsep pendidikan yang sebenar dalam Islam iaitu ta’dib. (Al-Attas, 1980:25)

Kesebatian makna antara konsep adab dengan ilmu yang benar dan berguna, dengan amalan yang ikhlas dan betul telah dijelaskan dengan tuntas berkenaan takrif adab yang dikemukakan oleh al-Attas sebagai:
                    
Adab ialah pengenalan dan pengiktirafan hakikat bahawa ilmu dan segala yang wujud teratur bertingkat-tingkat mengikut martabat dan darjatnya masing-masing. (Serentak dengan itu) adab juga ialah pengenalan dan pengiktirafan tempat yang wajar bagi seseorang berhubung dengan hakikat tersebut serta kebolehan dan potensi jasadi, akli dan rohani diri masing-masing.” (Al-Attas, 1980:26)

Oleh sebab itu kefahaman sastera yang tercermin daripada kata asal adabiyyat haruslah disulami dengan kefahaman ilmu yang betul agar nilai diri dan masyarakat dapat diletakkan pada tempat yang betul sehingga lahirnya tamadun atau peradaban dalam masyarakat tersebut seperti dijelaskan oleh al-Attas:

“Jikalau dalam Islam kesusasteraan itu diberi nama adabiyyat, maka kenyataan itu menjelaskan bahawa kesusasteraan itu dianggap sebagai penyimpan peradaban, penampung ajaran-ajaran serta kenyataan-kenyataan yang mendidik diri dan masyarakat nescaya menyerapi adab, sehingga dapat mengangkatnya naik dari taraf rendah manusia liar ke taraf luhur insan adabi. Jadi kesusasteraan mempunyai tujuan serta tugas yang berangkap dengan pendidikan umum; dia mecara-senikan ajaran-ajaran serta kenyataan-kenyataan yang memupuk adab menerusi bahasa luhur, yang menegaskan keadaan serta kedudukan hakiki pada cita-rasa insani.” (Al-Attas, 2001:121)

Penjelasan dan perkaitan sastera Islam yang menjadi asas kepada sastera ilmi tidaklah bermakna ianya beku dan jumud dari segi aspek estetitkanya, malah ianya turut menekankan aspek “indah dan bermakna” yang menjadi matlamat akhir sesebuah karya dalam sastera ilmi. Di sini Mohd. Affandi Hassan memetik contoh daripada al-Quran berkenaan cerita yang tersemat dalam Surah Yusuf. Menerusi ayat yang melambangkan “kesabaran yang indah” (sabrun jamilun, 12:18) ianya menggambarkan kekuatan iman dan keteguhan hati dengan sifat tawakkal yang murni dan ikhlas. Sifat cinta kepada Allah yang dilakarkan oleh Nabi Yaakub timbul daripada iman yang sempurna dan cinta kepada anak (kepada Nabi Yusuf) cerminan daripada kasih sayang seorang bapa sekaligus melahirkan “sabrun jamilun” tersebut. Direnungi makna cinta kepada anak yang menimbulkan penderitaan sambil dipertentangkan dengan cinta kepada Allah yang menimbulkan tawakkal dan harapan, ianya berhasil melahirkan kesan yang berbeza, dan ini sekaligus memberikan makna yang positif kepada kedua-duanya pada masa yang sama memberi gambaran berkenaan konsep taqwa. Perihal bapa yang kehilangan anaknya seperti satu kejadian biasa yang mungkin tidak menarik atau mengharukan tetapi diberi makna yang mendalam dan indah dengan penggunaan bahasa yang tepat dan indah dan isi atau perutusan yang benar seterusnya mengetengahkan maksud indah dan bermakna yang seharusnya menjadi hakikat dan fungsi sastera dalam Islam (Mohd. Affandi Hassan, 2005: 28).

Hujah yang dikemukakan oleh Mohd. Affandi Hassan ini senada dengan apa yang al-Attas tegaskan berkenaan puisi bersifat keislaman berkenaan aspek “indah dan bermakna”:

“Puisi bersifat keislaman bukan hanya yang sekadar berdaya menyelipkan di sana-sini kalimat-kalimat keagamaan seolah-olah yang demikian itu sudah cukup menunjukkan keislaman sifat dan bentuknya. Ciri-ciri yang menandakan puisi bersifat keislaman, antara lainnya, harus memabayangkan kebenaran yang ditayangkan oleh budi dan rasa. Kebenaran yang tercermin dalam akal dan kalbu itu pula harus dijelmakan dalam bentuk rupacita yang menepati kisah keadaan dan yang diperjelas menuturi cerita mithali memadai perkara yang dimaksudkan. Ia juga harus mengandung pelajaran dan nasihat, memurnikan martabat ilmu dan amalan akhlakiah, menuntut penerapan keadilan serta perangai adabi dalam diri dan masyarakat insani. Penulis puisi bersifat keislaman tentunya harus mendalami kefahaman akan Islam dan sejarah pemikiran serta tamaddun Islam; sebab dengan kefahaman demikian sahajalah baharu boleh dia jadi sedar akan keadaan zamannya, akan permasalahan pokok yang terdapat dalamnya, dan akan pelajaran dan nasihat yang harus diambil darinya. Dia harus mengambil tauladan dari karya luhur pujangga lama, memahami sejarah lama serta cerita-cerita bidalan bijaksana. Dan dalam hal peka akan keadaan semasa tiada harus dia membiarkan kejahilan dan kezaliman berleluasa tanpa teguran. Pandangan hidup serta pertimbangan rasa dan penilaian akalnya harus dikemukakan dalam bentuk puisi menuturi percakapan berirama menepati bawaan bahasanya.

Sesungguhnya ciri-ciri puisi yang disebut bersifat keislaman itu merupakan ciri-ciri puisi dan persajakan yang kulli – yakni universal dan juga terdapat dalam kesusasteraan kebudayaan-kebudayaan yang bertamadun tinggi.” (Wan Mohd Nor, 2004: ix)

Kehilangan adab dalam sastera.

Menurut al-Attas, akar permasalahan kepada umat Islam bertitik tolak dari dua sudut iaitu kelemahan dalaman umat serta unsur luaran yang berpusat pada cabaran daripada kebudayaan dan tamadun Barat. (Al-Attas, 1973: 6-7)

Al-Attas melihat terdapat tiga punca yang saling berkaitan dalam menzahirkan masalah dalaman umat Islam iaitu:

1.    Kekeliruan dan kesilapan menanggapi makna ilmu dan pengamalannya.
2.    Kehilangan adab.
3. Kelahiran pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab dalam pelbagai lapangan kehidupan beragama dan masyarakat. (Al-Attas, 1973: 6-7)

Dan ketiga-tiga punca ini mampu membentuk satu lingkaran yang ganas di mana cara untuk menamatkannya haruslah ditangani masalah kehilangan adab itu dahulu kerana pelbagai ilmu tidak dapat diajar dan pendidikan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna jikalau setiap lapisan masyrakat tidak mempunyai adab yang betul terhadap ilmu dan ilmuwan mengikut martabat dan darjatnya masing-masing. Ketiadaan adab ini akan membuat manusia merungkai pemahaman dan definisi yang telah betul dan sah dan menggantikannya dengan slogan-slogan kabur yang disebarkan sebagai konsep; hilang kebolehan mengenal makna sesuatu konsep dan keupayaan mentakrif, mengenal pasti masalah-masalah, dan ketiadaan upaya menyelesaikan masalah. (Wan Mohd Nor, 2006: 162)

Masalah kehilangan adab ini turut menimpa disiplin ilmu kesusasteraan moden yang sangat terpengaruh dengan faham ilmu dan pengamalannya dari pengaruh pandangan alam Barat.

Ini bermakna sastera dalam Islam, khususnya sastera ilmi tidaklah sama seperti sastera dalam fahaman tamadun Barat yang berunsurkan nilai estetika semata-mata. Sastera Barat seperti yang telah dikonsepsikan dan dipraktikkan adalah sempit dan mengelirukan, terbatas hanya kepada aspek lahiriah dan luaran, untuk memuaskan nafsu, emosi dan daya intelek yang ukurannya terlalu relatif dan sementara yang membuat manusia gagal mengenal hakikat dirinya. (Mohd. Affandi Hassan, 2005: 24)

Secara ringkasnya sastera Barat kebiasaannya sangat sarat dengan falsafah utilitarianisme, romantisime, idealisme, realisme dan hedonisme.

Banyak sasterawan dari Nusantara terperangkap dalam pandangan alam Barat yang mendefinisikan pembaharuan budaya itu bertitik tolak dari ketidakfahaman mereka dalam apa yang cuba digagaskan dalam dunia kesusasteraan dan persuratan Melayu. Kehampaan kefahaman berkenaan sejarah silam dan juga kebergantungan mereka terhadap bimbingan sarjana-sarjana kolonial Barat yang menentukan penilaian sejarah serta kesusasteraan Melayu telah menimbulkan kekeliruan yang serius. (Al-Attas, 1972: 53)

Menurut al-Attas, unsur-unsur baru yang telah timbul dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia banyak mengutamakan nilai tragedi, nilai kesengsaraan dalam lakonan kehidupan insan. Faham tragedi dalam dunia seni dan budaya Melayu-Indonesia “moden” ini tidak lain tidak bukan merupakan cerminan kepada kesan kebudayaan Barat yang mendakyahkan suatu pandangan hidup yang bertitik tolak daripada keraguan dan falsafah dalam mencapai Kebenaran di samping kekecewaan daripada pengalaman beragama (Kristian dan Yahudi) yang akhirnya dizahirkan secara berleluasa dalam dunia kesusasteraan mereka yang berjiwa tragedi. Faham dan pandangan alam Barat ini telah disalah erti oleh sasterawan dan sarjana sastera Melayu-Indonesia “moden” sebagai satu bentuk “baru” dalam dunia kesusasteraan kita.

Kekeliruan dan kesalahfahaman konsep sastera yang bertitik tolak dari masalah kehilangan adab telah dijelaskan dengan tuntas oleh al-Attas dalam syarahan pengukuhan pelantikan jawatan Profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1972 yang bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu:

“Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang-orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas tidak mendalam. Penganut-penganut golongan inipun mereka yang terkeliru, yang kebanyakkannya terdiri dari masyarakat Bandar yang sungguhpun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri dan dari itu nilai-nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membedakan yang benar dan palsu.

Jiwa ‘baru’ yang kononnya terbayang dalam kesusasteraan kita sekarang, pada pendapat saya ditinjau dari segi falsafah, tiada selaras dengan sifat persendirian bangsa dan kebudayaan kita yang berdasarkan kebudayaan Islam.” (Al-Attas, 1972: 55)

Al-Attas turut menegaskan akan peri penting konsep kesusasteraan itu direnungi dari banyak sudut dan lapangan ilmu yang saling berkaitan:

“Konsep kesusasteraan itu sebenarnya harus direnungkan sebagai merangkum tulisan yang meliputi bidang kebudayaan termasuk hasil agama, falsafah, sejarah, hukum dan undang-undang serta adapt-adat istiadat, kesenian; ia menjelaskan sifatnya dalam mitos, dongeng, hikayat, baikpun dalam bentuk epik, roman atau lain-lain lagi; dalam prosa dan puisi dan tentu juga memasuki bidang-bidang pemikiran politik dan pendidikan – pendek kata ia meliputi bidang-bidang ilmiah yang dikaji dalam rangka ilmu-ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan. Kesusasteraan itu mencerminkan tamadun, yang merupakan kehidupan intelek”. (Al-Attas, 1972: 65)

Antara contoh masalah kehilangan adab dalam sastera khususnya disiplin ilmu kritikan sastera mengikut penjelasan Gagasan Persuratan Baru yang menumpukan kajian mereka terhadap buku Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan (DBP, 2003) adalah:

1. Kegagalan kritik sastera dalam memberi arah.

Buku yang dijadikan kayu ukur kepada kritik terhadap kesusasteraan Melayu moden (Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan) tampak bermasalah dalam menentukan sempadan ilmiah dalam bidang kritikan. Oleh kerana buku tersebut hanya memberi tumpuan terlalu sempit dalam bidang “sastera” sahaja, maka tokoh seperti Za’ba yang telah cukup banyak memberi sumbangan bermakna kepada kritikan persuratan Melayu tidak diiktiraf oleh buku sejarah kritikan tersebut. Menurut Mohd. Affandi Hassan, perihal sebegini menunjukkan bagaimana makna kata kunci “sastera” itu telah mengenepikan ilmu dalam bentuk wacana ilmiah dan hanya memberi perhatian kepada aspek kreatif dalam bentuk cerita. (Mohd. Affandi Hassan et al, 2008: 13)

Penyempitan makna sastera kepada aspek estetika sebegini sebenarnya mencerminkan pencemaran semantik perkataan “sastera” itu sendiri. Perkara sebegini tidak asing dan pernah berlaku dalam sejarah ketamadunan Islam di mana “Hujjatul Islam” Imam al-Ghazzali sendiri pernah menerangkan perihal pencemaran kata kunci penting yang berlaku dengan serius pada zamannya seperti ‘ilm, dan fiqh dalam magnum opus beliau iaitu Ihya’ Ulum al-Din.
  
2. Kecelaruan kefahaman konteks kritikan sastera Melayu.

Laporan panel Anugerah Sastera Negara mencerminkan kekeliruan penilaian sesebuah karya kreatif dan sumbangan seorang sasterawan diasaskan kepada pandangan umum yang tidak ditunjang kepada ukuran yang mantap berasaskan konsep ilmu yang benar. Mohd Affandi Hassan memberi contoh seperti yang dilaporkan dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 1985 yang menilai karya-karya A. Samad Said, bahawa panel menegaskan karya-karya A. Samad Said tidak didaktik, tidak mempunyai perutusan tertentu, tidak ada matlamat untuk dicapai, tidak menekankan aspek moral dan pendidikan malah karya-karya itu menjadi bermutu tinggi dan istimewa kerana meniru teknik dan gaya penulisan Barat.

Penilaian sebegini sudah tentu bertentangan dengan fungsi sastera dalam tradisi persuratan Melayu tradisional (yang Islami dan ilmiah sifatnya), yang menekankan sidat didaktik, yang mempunyai tujuan dan matlamat untuk mengajar masyarakat menjadi cerdik dan beradab. (Mohd. Affandi Hassan et al, 2008: 16)

3. Hanyut dalam khayalan subjektif.

Para sasterawan, pengkritik dan sarjana sastera hampir sepakat mengatakan bahawa tiada siapa pun, dan tidak ada sebarang teori, yang boleh mentukan arah perkembangan sesuatu kegiatan kreatif seperti penulisan novel, sajak dan lain-lain. Para sasterawan bebas memilih aliran mana sekali pun yang mereka gemar dan setiap sasterawan bebas menulis dalam bentuk dan tenang apa sekali pun. (Mohd. Affandi Hassan et al, 2008: 18)

Faham makna kebebasan yang terlakar dalam dunia kesuasteraan masa kini tidaklah sangat bertitik tolak dari faham sebenar kebebasan yang dianjurkan dalam Islam tetapi lebih kepada kelangsungan hawa nafsu semata-mata. Dalam konteks epistemologi Islam, kebebasan hanya terdapat apabila manusia memilih kebaikan bukan memilih kejahatan. Penyakit penisbian hala tuju kesusasteraan sebegini juga bertitik tolak daripada kebejatan faham epistemologi ilmu iaitu penyakit aliran sofis jenis indiyah yang bersifat relativisme atau yang lebih ekstrim, nihilisme iaitu penghampaan nilai.

4. Khayalan liar dalam penggunaan “bunga bahasa”.

Terdapat kecenderungan besar untuk menggunakan “bunga bahasa” yang berlebihan dikalangan sasterawan yang tidak memahami kedudukan bahasa dalam Islam. Karya-karya kreatif sangat mewah dengan “bunga bahasa”, tetapi miskin dengan makna yang mendalam. Seharusnya, konsep keindahan bahasa dalam Islam, seperti yang diajarkan bahasa kepada manusia oleh Allah SWT ialah untuk mengenal tanda-tanda kebesaran Allah di dunia. Bahasa yang tidak diletakkan pada hakikatnya yang betul, sifatnya tersebut hanya menjauhkan manusia dari mengenal kebenaran akibat kesan “bunga bahasa” yang melalaikan atau memberi gambaran palsu yang kaya dengan ilusi yang boleh menyesatkan. (Mohd. Affandi Hassan et al 2008: 21)

Kita lihat daripada semua hujah di atas, bahawasanya masalah kehilangan adab itu sangat berleluasa dalam dunia kesusasteraan tanah air. Jikalau disiplin ilmu kritikan sastera sebegini bermasalah bagaimana hendak kita majukan dunia kesusasteraan yang berpaksikan faham agama Islam dan keilmuan yang betul? Kekeliruan disiplin ilmu kritikan sastera ini hanya menimbulkan lagi lingkaran yang ganas seperti yang diterangkan tadi.

Sejarah dan contoh sastera ilmi.

Konsep yang diutarakan dan dikupas panjang lebar oleh ilmuan berwibawa berkenaan sastera ilmi bukanlah tertegak atas lamunan kosong sebaliknya digali dan difahami dengan betul berhubung kait dengan kekayaan budaya intelektual dan seni menulis ketamadunan Islam yang wujud sampai hari ini serta telah mempengaruhi ketamadunan manusia baik di Timur mahupun di Barat.

Contohnya Masnavi yang merupakan magnum opus ahlli sufi agung, Mawlana Jalaluddin Rumi merupakan karya sastera ilmi yang paling mendapat sambutan di dunia Barat berbanding karya-karya penulis Barat yang lain. Tidak kurang juga polemik yang berlaku terhadap karya sastera ilmi yang disalah tafsir  (satu lagi contoh kehilangan adab) oleh penterjemah Barat seperti The Essential Rumi yang diterjermah semula oleh Coleman Barks mengikut acuan  “New Age” dan pasca moden  telah mengakibatkan makna sebenar karya agung Jalaluddin Rumi yang sarat dengan faham agama Islam dan ilmu yang betul, menjadi satu karya yang sarat dengan makna berahi dan nisbi sifatnya. (Naficy, 2002:1)

Dalam sejarah ketamadunan Islam turut memuatkan karya sastera ilmi yang sarat dengan pengajaran dan pendidikan aqliah dan akhlakiah seperti al-Jahiz menulis Kitab al-Bukhala yang menerangkan kisah-kisah manusia yang tamak dalam bentuk satira. Kisah-kisah yang dimuatkan dalam karya tersebut sangat berguna untuk pengajian bidang ilmu psikologi. Karya-karya agung puisi berbentuk qasidah seperti al-Burdah oleh Imam al-Busiri, Farid al-Din Attar dengan karya Manteq-a-Tayr (Persidangan Burung) dan Tadhkirat al-Awliya’ (Sejarah Para Awliya’), Shah-namah (Buku Para Raja) karangan Firdawsi yang menjadi karya syair agung buat sejarah ketamadunan Parsi, Diwan yang ditulis oleh Hafiz dari Shiraz, Gulistan (Taman Bunga Ros) dan Bustan (Taman) yang ditulis oleh Sa’di dari Shiraz juga karya sufi intelektual seperti Kitab al-Hikam oleh sufi agung Ibn Ata’Allah al-Iskandari, yang mana semua karya tersebut telah berjaya ditulis dengan “indah dan bermakna” sesuai dengan hakikat ilmu, dan seni budaya yang didokong oleh tradisi kesusasteraan Islam. Semua ini merupakan cerminan kepada ruh kesusasteraan Islam yang menekankan konsep keilmuan daripada sumber al-Quran dan hadith. (Nasr, 1994:107)

Pengaruh sastera ilmi yang digarap daripada tradisi kesusasteraan Islam juga dapat ditinjau dalam karya-karya ulama’ Nusantara seperti Hamzah Fansuri yang menulis Sharabu’l Ashiqin (Minuman Segala Orang yang Asyik) dan Asraru’l Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana), begitu juga dengan Nuruddin al-Raniri yang menulis karya Bustan al-Salatin (Taman Para Raja) mirip dengan karya al-Ghazzali yang bertajuk Nasihat al-Muluk (Nasihat untuk Raja-Raja) begitu juga Bukhari al-Jauhari yang menulis Taj al-Salatin (Mahkota Raja-Raja).

Tidak lupa juga karya sastera falsafi seperti Hayy ibn Yaqzan yang ditulis oleh failasuf Muslim dari Andalusia, Ibn Tufayl telah menjadi pemangkin kepada revolusi pemikiran saintifik dan falsafah tamadun Eropah sewaktu abad Pertengahan yang telah diterjemahkan kepada bahasa latin sebagai Philosophus Autodidactus (Attar, 2007).

Selain daripada karya Ibn Tufayl, Rasa’il Ikhwan al-Safa’ turut memuatkan kisah falsafah dan sufi di dalamnya. Begitu juga dengan Risale-i Nur karangan mujaddid Turki abad ke-20, Said Bediuzzaman Nursi yang mengolah pelbagai tema sentral berkenaan al-Quran sebagai satu kalam baru dalam berhadapan dengan serangan idea dan pemikiran falsafah materialis dan ateis.

Contoh sastera ilmi hasil masa kini dapat ditinjau dalam sajak Di Bawah Selimut karangan Wan Mohd. Nor Wan Daud, di mana beliau memberikan syarah ke atas karya Sa’di dari Shiraz:

Muslihuddin Sa’di mengajarkan hikmat padat berisi,
Di bawah selimut semua disangka cantik, menawan hati
Bila selimut diangkat, bila mata jelas melihat
Ternyata seorang tua tidak langsung memikat!

Justeru itu, kebanyakan pasangan pintar
Lampu syurga duniawi sengaja dipasang samar
Pipi wanita ditampungi, rongak dan rongga tak kelihatan
Agar lelaki impian tidak terganggu dalam keasyikan.

Lama kelamaan lampu akan dinyalakan terang juga
Pipi akan disapu bersih, segala rongga ‘kan terbuka
Ronggak ‘kan ternampak semua
Tidak lagi berpura-pura, meraba-raba
Semuanya akan jelas ketara

Sa’di sesungguhnya bukan membicarakan selimut kain
Bermaksud lebih mendalam, tentang selimut batin:
Jika ilmu dalam dada tidak seberapa
Tidak dinasihati pula ahli ikhlas, sederhana
Insan mudah tertipu dengan zahirnya perkara
Dimangsa sesiapa yang pandai mengatur kata
Yang pintar menukar warna jiwa, mengikut suasana.
(Wan Mohd Nor, 2004: 54)

Kesimpulan

Genre sastera ilmi bukanlah sesuatu yang baru muncul tetapi merupakan penerusan daripada tradisi kesusasteraan Islam yang agung. Gagasan Persuratan Baru merupakan satu usaha murni yang cuba ‘menyelamatkan’ ruh kesusasteraan Islam daripada ditelan badai falsafah modeniti dan pasca modeniti agar ianya kembali berpaksikan hakikat insan dan hakikat ilmu yang selari dengan konsep adab dalam Islam. Ianya juga sebenarnya merupakan satu usaha proses pengislaman kembali kesusasteraan Melayu kerana Gagasan Persuratan Baru menekankan kepada faham ilmu yang benar dan bermanfaat berlandaskan ajaran Islam. (Wan Mohd Nor, 2009)

Maka genre sastera ilmi seharusnya menjadi fokus penting buat karyawan muda di negara ini dalam usaha memartabatkan kembali dunia persuratan dan kesusateraan Melayu di samping menjadi pemangkin kepada proses penyuburan budaya intelektualisme dalam masyarakat.




*makalah ini telah dibentang dan dimuatkan dalam koleksi makalah "Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 - Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran"  terbitan PENA (Kuala Lumpur: 2012)

Bibliografi
Al-Attas ,Syed Muhammad Naquib 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

_______. 1973.  Risalah untuk Kaum Muslimin,

_______. 1978. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

_______ .1980. The Concept of Education in Islam: A framework for an Islamic Philosophy of Education. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM.

Attar,  Samar  2007. The Vital Roots of European Enlightenment: Ibn Tufayl's Influence on Modern Western Thought, Lexington Books.

Gabrieli. F. 1986 Encyclopedia of Islam. Edisi Baru. Leidden. E.J Brill.

Hodgson. Marshall G.S 1958. The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization. Vol. 1 The Classical Age of Islam. Chicago: The University of Chicago Press.

Mohd. Affandi Hassan 2005. Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Mohd. Zariat Abdul Rani 2008. Gagasan Persuratan Bartu: Pengenalan dan Penerapan. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).

Nasr, Seyyed Hossein 1994. A Young Muslim’s Guide to the Modern World. Kazi Publications.

Naficy, Majid  2002. Coleman Barks and Rumi’s Donkey yang dimuatkan dalam jurnal “Nameh-ye Kanoon" vol.15. Iranian Writers' Association in Exile

Wan Mohd Nor Wan Daud 2003. Mutiara Taman Adabi: Sebuah Puisi mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat. Kota Bharu: Dian Darulnaim Sdn. Bhd.

_____________________. 2004. Dalam Terang: Sebuah Puisi mentafsirkan tuntutan Amanah yang diterima Insan serta Peranan Ilmu dan Akhlak dalam Masyarakat. Petaling Jaya: Tradisi Ilmu Sdn. Bhd

_____________________. 2006. Masyarakat Islam Hadhari: Suatu tinjauan Epistemologi dan Kependidikan ke arah Penyatuan Pemikiran Bangsa.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

_____________________. 2009 pesanan mesej ringkas (sms) pada 8 Mei 2009, jam 6.30 petang.



ditulis oleh Rausyanfikir 

No comments:

Post a Comment