Thursday 5 July 2012

Mayat Dijulang, Pembelaan dituntut.

Hulk Lebat bermaharajalela di istana. Hulk Lebat sangat asyik membunuh dayang-dayang, datin-datin dan bangsawan negara. Perasaan Hulk Lebat masih melebat dengan dendam. Hulk Lebat melangkui norma-norma kehidupan alam melayu. Siapa tidak sakit hati, apabila isterinya dibunuh hanya kerana memakan buah-buahan Presiden.

Nafasnya turun naik. Lengan Hulk Lebat menerbitkan urat-urat. Mata meliar mencari siapa sahaja mangsa, sekiranya Presiden di hadapannya sekalipun akan dibunuhnya. Mangkubumi Ton Parois, mencadangkan kepada Presiden supaya memanggil pahlawan yang boleh membenamkan Hulk Lebat. Lalu Presiden berkata,

"Siapa mereka itu? Adakah mereka pahlawan-pahlawan yang handal?"

"Sudah tentu Tuan, mereka sangat hebat. Mereka berkumpulan. Pasti berjaya dengan kerjasama antara mereka."

"Apa nama kumpulan mereka?"

Ton Parois senyum dan berkata,

"Mereka kawan Hulk Lebat, Hulk Lebat bersama mereka dahulu, tetapi kini tinggal empat sahaja, Dengan jolokan Pembela Kebangsaan atau National Avengers!"

Mata Presiden membulat, lalu bertepuk tangan dan berkata,

"Saya suka! Pasti si pengkhianat itu dihapuskan."

***

Matahari di dada langit. Terang benderang ditambah kepanasan matahari. Hulk Lebat berdiri di kepala bukit. Tiba-tiba mendengar jeritan yang kuat.

"Hai Hulk Lebat , lebih baik kau turun di kaki bukit. Kau menderhaka kepada Presiden. Sedangkan kau tahu kau dibayar oleh Presiden bagi menjaganya.

Hulk Lebat mentempelak,

"Sesungguhnya!! Aku tidak menjaga Presiden. Aku dibayar oleh Rakyat. Aku hanya menjaga Rakyat. Kerana itu aku membenamkan jiwa raga aku menyertai Pembela Kebangsaan dan kau Luck Person sertai Angkatan Laut Negara yang hanya menjaga kepentingan Presiden di laut-laut berminyak dan beremas dengan berkongsi kekayaan bersama kroninya."

"Cis!!, Kurang ajar kau Hulk Lebat. Sesungguhnya jawatan itu aku menguruskan amanah Presiden dengan betul dan patuh pada syariah! Aku di sini membela atas kematian dayang-dayang, datin-datin dan bangsawan yang kau bunuh. Dan kau bukan lagi dalam kalangan kami Pembela Kebangsaan, kau sekarang Pengkhianat Kebangsaan, dulu, kini dan selamanya!" Luck Person menghulurkan kerisnya seakan-akan menyertai persidangan kebangsaan parti Presidennya yang dilakukan setiap tahun.

"Berani kau Luck Person. Presiden membunuh isteri aku kerana memakan buah-buahan Presiden. Apakah kau sebagai Ketua Pembela Kebangsaan membela nasib isteri aku? Jawab Luck Person. Atau kau mahu menjaga jawatan kau itu untuk kepentingan kau sahaja! Tanpa mempedulikan nasib isteri aku!"

Luck Person tersentak. Berkerut dahinya mempertimbangkan perkara itu. Jejaka besi, Si Gadis Cantik dan Sang Sagittarius Penembak tepat mula mempersoalkan perkara itu. Luck Person mengerling mereka. Luck Person senyap seketika. Nafas Hulk Jebat turun dan naik dengan laju.

"Fikirkan dengan rasional Luck Person. Bangsa aku, memang maju dan intelektual. Budaya dari luar ditapis. Mengolah supaya serasi dengan budaya islam dan tempatan. Tetapi apabila pemerintahan diangkatkan dengan sistem demokrasi, mengangkat pemimpin yang keliru dengan rakyat yang keliru. Ini jadinya."

"Cis!! Ini kali kedua kau menderhaka kepada Presiden!"

"Sudah aku katakan Luck Person. Kau dan rakan kita semua mengangkat pemimpin yang keliru tentang jati diri. Sistem demokrasi membolehkan sesiapa sahaja jadi pemimpin. Ingat Luck Person sesungguhnya pemimpin melayu dahulu adalah Amir yang patut ditaati kerana menegak syariah islam! Sesungguh Raja yang adil akan disembah, Raja yang zalim Raja disanggah! Tetapi apa kau dapat dengan sistem ini, hanya ketaksuban dan kekeliruan orang-orang mengangkat mereka jadi pemimpin...," Hulk Lebat menghela nafas.

Lelaki besi, Si Gadis Cantik, dan Sang Sagittarius Penembak tepat membina pendirian masing-masing. Mereka berpendapat tidak mahu melawan dan menghalang Hulk Lebat. Sesungguhnya sejarah berulang. Pertarungan dua orang pahlawan melayu Hang Jebat dan Hang Tuah akan berulang lagi. Kini Zaman Pascamodenisme Hulk Lebat dan Luck Person yang memiliki ilmu persilatan yang tertinggi di negara ini.

Luck Person mempertimbangkan sesuatu. Dahinya berkerut dan berpeluk tubuh, sukar Luck Person membuat keputusannya, 'Mahu menghalang atau menjulang?' fikirnya. Lalu Luck Person menghela nafas, menuruni dari kaki bukit dan berkata,

"Sesungguhnya aku tidak akan bertarung dengan Hulk Lebat. Jika Hang Jebat dahulu menderhaka dengan Sultan kerana menuntut bela kematian Hang Tuah, Hang Tuah pula bertarung dengan Hang Jebat atas menderhaka pada Sultan. Pantang melayu menderhaka pada Sultan apatah lagi pegawai istana seperti Bendahara, tapi Bendahara tidak jatuh hukuman mati Hang Tuah. Adakah Bendahara menderhaka? Tidak, dia bijak. Dan aku akan mengambil kebijaksanaan Bendahara. Dan kau Hulk Lebat, pergi cari pembelaan...," Luck Person merenung Hulk Lebat di kepala bukit dengan dahi berkerut dan mengedip mata berkali-kali.

"Tapi bagaimana pembunuhan dayang-dayang dan bangsawan istana?" Lelaki besi mempersoalkannya.

"Tentang pembunuhan, hanya kita sahaja tahu Rahsia Pahlawan Melayu yang digeruni di timur mahupun barat...," jawab Luck Person dengan senyuman sinis mengerling kepada Lelaki Besi seolah mempertahankan tindakan Hulk Besi.

"Apa Rahsia Pahlawan Melayu itu?" soal Si Gadis Cantik.

"Amukan...," jawab Luck Person.

Hulk Lebat hanya memberi senyuman dan berkata,

"Luck Person, kau tunggu di rumah kau. Akan aku bawa mayat akan dijulang oleh orang senasib dengan aku."

(Tamat) "Kaedah Penulisan Interteks dan Satira."
Kursus Penulisan.

4 comments:

  1. Bisa saya tahu, apakah latar masa bagi cerpen ini?

    ReplyDelete
  2. Latar masa, masa kini. Pascamodenisme. :D

    ReplyDelete
  3. the story represents the political scenerio in writing characters by changing the names and situations. it can be understood that this writer is trying to express his opinion in good manner...

    in addition the story must use simple words without changing its hidden meaning...

    after all there is room for improvement...

    well done...

    ReplyDelete
  4. Thank you for commenting. I will improve my writing. This is interteks, so each person has their own interpretation. It's not my opinion reflect the truth. However, thank you once again. :D

    ReplyDelete